Aku masih ingat cerita yang pernah diceritakan padaku, saat dia mengandungkan aku, dia tidak pernah lupa untuk mengusap perutnya sambil berdoa supaya dikurniakan anak yang soleh dan solehah. Dia juga sering berjaga malam untuk qiyamullail. Di saat aku hampir menjejakkan kaki ke dunia, Bulan Ramadhan menjelma. Dia berjaya mengkhatamkan Al-Quran selama sebulan dengan azam yang tinggi dan semangat yang kuat walaupun dia membawa kandungan yang berat.
Bila aku dilahirkan, dia dan suaminya sangat gembira. Meraikan orang baru yang hadir dalam hidup mereka memberikan seri dalam kehidupan mereka.
Aku masih ingat, ketika aku masih kecil, dia gigih mengajarkan aku mengenal huruf-huruf al-quran. Mengenal Allah, mengenal rasul sehingga aku sendiri boleh memahaminya ketika itu dan menyebutnya walaupun agak pelat. alhamdulillah = amiah. Dia mengajar aku dan adik-adikku mengaji al-quran tanpa rasa jemu kerna tekad di hati ingin melihat anak-anaknya mengenal surat cinta dari Tuhan. Walaupun kami nakal, kadangkala malas nak baca, dia jarang mencubit dan merotan kami kerna dia tahu anak-anaknya akan berjaya juga mengaji dengan baik.
aku masih ingat, bila kami adik-beradik di sekolah mahupun di tadika, selalu kami lihat gigi rakan-rakan kami rongak dan berwarna hitam. Tapi kami tak. Gigi kami cantik, putih bersih. Inilah hasil penjagaan dia yang amat mementingkan corak pemakanan kami. Tiada 'junk food' sebagai makanan pilihan. Tiada air manis yang melalui anak tekak kami. Sayur-sayuran, ulam-ulaman serta buah-buahan menjadi makanan ruji kami. Dia akan cuba untuk menyediakan sarapan walau hanya sekeping roti untuk kami bawa bekal setiap pagi ketika kami di sekolah rendah.
Aku masih ingat, bila ada di antara kami yang demam, dia akan menjaga kami, membuat bubur nasi untuk kami. Bagi makan ubat walaupun melalui paksaan. Dia akan setia di sisi kami sehingga kami sembuh. Membelai dengan urutannya yang lembut sambila mengusap kepala kami bagi mengurangkan kesakitan dan memberikan kelegaan.
Dia akan sentiasa cuba memenuhi permintaan anak-anaknya walaupun dia tahu ia agak susah tetapi demi anak-anaknya, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat kami gembira. Jika aku tidak dapat melelapkan mata walaupun subuh hampir menjelma, aku sering mendengar dia mengaji dan berdoa sambil merintih kepada Allah agar kami menjadi anak-anak yang solehah. Bila azan subuh berkumandang, dia akan mengejutkan kami untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Dia sabar melayan karenah kami yang liat untuk bangun. Dia sabar menunggu untuk berjemaah bersama-sama.
Setiap teguran darinya, menjadi pedoman kami untuk meneruskan hidup. Walaupun kami nakal, tidak mendengar kata, sering terlepas kata dan perbuatan, dia tetap sabar menyantuni kami dengan hikmah. Dia tidak pernah mengherdik kami, jarang memarahi kami dan tidak pernah memukul tanpa sebab.
UMMI, kaulah ratu dihatiku......Selamat hari UMMI dan selamat Hari Murabbi.....
Kasih sayangmu tiada penghujungnya...tanpa dikau, siapalah kami di dunia ini.
LOVE YOU SOOO MUCH!!!!
No comments:
Post a Comment